Isu Tekanan Emosi Guru Akibat Bebanan Kerja
1.0 Pengenalan
Pada masa kini, dunia pendidikan sering menjadi isu penting tidak kira
sama ada dari segi pendidiknya, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
digunakan, ganjaran dan kenaikan pangkat ataupun isu-isu semasa yang sering
membabitkan diri pendidik tersebut. Oleh itu, profesion perguruan sering
dianggap oleh masyarakat bahawa bidang ini bukanlah satu tugas yang sukar dan
rumit kerana kebanyakan mereka menganggap kerjaya guru hanya duduk di dalam
kelas dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya sahaja.
Selain itu, terdapat juga orang yang berpendapat bahawa guru hanya perlu
membuat kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan mengisi borang yang
berkaitan dengan murid. Justerunya, masyarakat kini sememangnya tidak begitu
memahami secara mendalam terhadap profesion keguruan dan tanggungjawab yang
dipikul oleh para guru.
Namun begitu, di negara kita masih terdapat persoalan-persoalan mengenai
tekanan kerja di kalangan guru sering dibincangkan di mana-mana sahaja pada
bila-bila masa. Ini adalah kerana profesion sebagai seorang guru merupakan
salah satu profesion yang sungguh mencabar. Tanggungjawab yang menyatakan
bahawa guru umpama ‘lilin yang membakar diri’ bukan sahaja di dalam masyarakat
kita tetapi di negara-negara lain juga memandangkan tugas seseorang guru begitu
banyak dan tanggungjawabnya adalah amat berat terutamanya terdapat banyak
cabaran yang perlu dihadapi oleh seseorang guru dalam era globalisasi ini. Di
negara kita, antara cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik adalah
cabaran Wawasan 2020 untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu
pengetahuan dan berdaya saing.
Dengan itu, tanggungjawab dan tugas guru yang begitu mencabar telah
memberikan tekanan stres secara tidak langsung dan menyebabkan
perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Tidak dapat dinafikan bahawa pada
masa kini terdapat kes-kes yang berkaitan dengan guru sering berlaku dan
dilaporkan melalui media massa. Kebanyakan Kes yang berkaitan dengan guru
adalah amat serius sehingga terdapat segelintir kes telah menyebabkan
kecederaan dan kematian.
Dalam kes ‘ Bisikan Misteri Arah Guru Amuk’ yang berlaku di SK Sabur,
Kota Kinabalu adalah amat serius kerana guru tersebut telah mengamuk sehingga
menggunakan pedang samurai dan menyebabkan seramai 14 orang guru termasuk dua
orang guru wanita terpaksa menyembunyikan diri dalam hutan paya bakau. Walaupun
tiada sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku, akan tetapi tingkah laku
guru tersebut yang kurang waras telah mengancam keselamatan rakan sejawat yang
lain. Ini mungkin akan membawa sebarang kecederaan ke atas guru-guru yang
tinggal bersamanya. Sumber berkata bahawa suspek tersebut mendakwa terdapat
suara perempuan yang sering mengganggunya sejak beberapa minggu lalu dan
menyebabkan dia tidak dapat bertahan sehingga mengamuk.
Melalui pandangan masyarakat setempat yang bertahyul mungkin berpendapat
bahawa guru tersebut memang diganggu oleh makhluk halus. Walaubagaimanapun,
pandangan yang lebih saintifik mengenai kes ini berlaku mungkin disebabkan
tekanan emosi yang telah dipendamkan dalam guru tersebut yang agak lama
sehingga dia tidak dapat berfikir dengan waras dan mendakwa dirinya dapat
mendengar bisikan misteri yang mengganggu ketenteramannya. Akibatnya, tekanan
emosi yang serius ini telah menyebabkan guru berkenaan berfikiran tidak
mempunyai kesedaran diri dan melakukan perbuatan yang tidak terkawal yang boleh
mengancam keselamatan orang lain.
Dengan itu, kes yang telah berlaku ini telah membuktikan bahawa pada
zaman kini, para guru sentiasa menghadapi cabaran yang lebih ketara dengan
tuntutan daripada ibu bapa, masyarakat, pihak pengurusan sekolah dan
kementerian demi meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Selain itu, pelbagai
reformasi dalam bidang pendidikan dan masalah-masalah seperti masalah murid dan
bebanan kerja pasti akan menyebabkan tekanan stres di kalangan guru.
2.0 Definisi
stres
Stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan
mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Dr.
Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah
mendefinisikannya sebagai suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang
disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.
Menurut Mohd Salleh (1994), stres adalah reaksi fizikal dan mental emosi
seseorang akibat sesuatu situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat
keselesaan hidup. Di negara kita, fenomena stres di kalangan guru sering
diperbincangkan dan dijadikan bahan kajian. Ini adalah bidang pendidikan
pada hari ini semakin mendesak para guru untuk bekerja keras dengan lebih masa
demi mencapai permintaan tinggi pendidikan tersebut. Di samping itu, usaha
peningkatan dan pelaksanaan tersebut telah menyebabkan guru-guru semakin
tertekan dengan bebanan kerjaya pendidikan ini.
Mengikut Kyriacou (2000), stres guru merujuk kepada pengalaman guru
terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan,
kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugas sebagai seorang guru. Sementara
itu, menurut Sapora Sipon (2007), stres terhadap guru memang berkecenderungan
untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa,
kekecewaan dan kebimbangan. Maka, stres merupakan tindak balas fizikal yang
biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan
ketidakseimbangan berlaku.
Oleh itu, guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan
kepada perhubungan guru dengan murid dan juga mutu pengajaran dan
pembelajaran. Isu sebegini seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan
juga profesion perguruan yang akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah
masyarakat yang mampu membawa negara kita ke tahap kecemerlangan dan
kegemilangan mutu pendidikan.
Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat
umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam
kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak
terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke
rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan
tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program
peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar. Di
samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti
kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk
mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil
masa beberapa jam mahupun beberapa hari.
Sememangnya peranan guru di sekolah adalah banyak dan tugas
guru bukan sahaja mengajar dan menyampai ilmu pengetahuan kepada muridnya di
dalam kelas tetapi dia juga diharapkan dapat melaksanakan tugas-tugas yang
lain. Antaranya adalah sebagai pengurus bilik darjah, mengawal disiplin murid,
perancang program-program, agen perubahan, penyelidikan, fasilitator, penilai
dan banyak lagi. Apabila sesi persekolahan menuju ke penghujungnya pada
setiap tahun, guru sekolah perlu mendapat semakin banyak tanggungjawab yang
perlu dilaksanakan. Sementara tugas-tugas tersebut semakin bertambah, tugas
seperti pemeriksaan tugasan, ujian dan peperiksaan juga akan dihadapi oleh guru
selain melaksanakan tugas rutin iaitu mengajar. Dengan pertambahan tugas, guru
akan berasa beban dan seterusnya akan mengalami tekanan emosi yang serius.
Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa,
tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas
rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. Namun, bagi kebanyakan
guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah
memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu,
penyelesaian yang wajar harus dicari bagi meringankan beban ini kerana
jika stres atau tekanan berpanjangan di dalam hidup seseorang guru dan tidak
bijak untuk menguruskannya, ia akan menyebabkan penyakit-penyakit tertentu yang
akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi
kesan negatif kepada murid.
Antara penyakit-penyakit yang berpunca akibat mengalami
tekanan stres adalah sakit jantung, stroke, kencing manis, darah tinggi dan
sebagainya. Merujuk kepada isu guru tersebut telah mengalami kesukaran
tidur sehingga dia mengamuk. Kesukaran tidur atau dikenali sebagai ‘insomnia’
adalah salah satu penyakit yang berpunca daripada tekanan stres.
3.0 Punca
punca Stres
Selain itu, terdapat juga banyak faktor yang menyebabkan kes
sebegini berlaku. Antaranya adalah persekitaran kerja yang tidak kondusif.
Suasana kerja adalah amat penting bagi seseorang guru kerana ruang kerja yang
sempit dan sesetengah kelas yang terlalu panas dan tidak selesa boleh
menimbulkan ketidakselesaan kepada guru berbanding dengan individu lain yang
bekerja di tempat yang berhawa dingin. Tambahan pula, kemudahan-kemudahan
sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan diri dan pelajarnya terutamanya
sekolah-sekolah di kawasan pedalaman akan menyebabkan guru tersebut semakin
stres.
Selain itu, kelakuan dan perangai murid dalam kelas
yang sentiasa menjadi cabaran kepada seseorang guru juga merupakan salah satu
faktor yang menyebabkan guru mengalami tekanan emosi. Murid sentiasa melakukan
pelbagai aksi untuk menarik perhatian guru tentunya akan menimbulkan masalah
serta memberikan kesan kepada emosi guru dan lama-kelamaan ia akan menjadikan
guru berasa stres.
Punca-punca peribadi juga merupakan antara faktor guru
mengalami tekanan emosi. Keadaan kesihatan guru terjejas ataupun berlakunya
kemalangan dan kematian dalam kalangan ahli keluarga akan menyebabkan guru
tersebut mengalami tekanan emosi yang seirus. Selain itu, hubungan dengan ahli
keluarga atau rakan sekerja adalah amat penting bagi seseorang guru kerana ia
merupakan satu sokongan kepada guru tersebut. Jika berlakunya perselisihan
faham akibat masalah komunikasi yang tidak berkesan maka ini boleh menyebabkan
stres terhadap guru tersebut.
Pada zaman kini, taraf hidup yang semakin tinggi telah
menjadi keperluan yang biasa bagi semua orang. Oleh itu, perbelanjaan kehidupan
seharian amatlah memerlukan wang yang secukupnya. Kita sering diberitahu bahawa
gaji guru adalah rendah berbanding dengan profesion yang lain. Dengan itu, masalah
kewangan telah membataskan aktiviti riadah dan taraf hidup seseorang guru. Ini
telah menyebabkan dia sukar untuk menikmati dan memberikan taraf hidup yang
baik kepada diri dan keluarga mereka. Maka, masalah kewangan ini akan
menyebabkan guru mengalami tekanan stres.
4.0 Cara-cara
mengatasi stres
Berdasarkan faktor-faktor yang telah dibincangkan, banyak
usaha dan rancangan untuk mencari penyelesaian yang sesuai hendaklah dijalankan
agar mengatasi masalah beban guru sekolah agar isu ini tidak akan berterusan
dan menjadi semakin serius. Jika tidak, ia akan membawa kesan yang buruk
sehingga guru tidak suka akan kerja mereka dan secara tidak langsung ia mampu
membawa kesan buruk yang akan menjejaskan imej keguruan. Maka, pihak yang
berkenaan haruslah bekerjasama dan mengambil berat terhadap isu-isu guru
mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja.
Dengan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh
pelbagai pihak untuk menangani masalah beban tugas guru. Salah satunya adalah
Kesatuan Perkhidmatan Pengurusan Perguruan Kebangsaan (KPKK) telah memohon
supaya skop kerja guru dapat dispesifikan dan kebajikan guru dapat diutamakan.
Selain itu, kemudahan asas sekolah perlu lengkap dan program pemprosesan data
dapat diringkaskan serta penambahbaikan semua sistem ICT agar urusan data guru
atau pelajar dapat dilaksanakan secara berpusat. Bukan sahaja begitu, pihak
KPKK juga mencadangkan agar mewujudkan jawatan pembantu murid untuk membantu
urusan kerja-kerja perkeranian dan mengasingkan guru akademik dan guru sukan
agar guru dapat lebih fokus pada tugas yang telah ditetapkan untuk setiap
individu dalam organisasi itu.
Sebenarnya, pihak kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap
isu beban guru dan berusaha mencari penyelesaian yang sesuai untuk menangani
masalah tersebut. Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin juga
merupakan Menteri Pelajaran telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi
mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh
negara dan diharapkan untuk mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan
bebanan guru.
Selain itu, tokoh akademik termasuklah bekas Ketua Pengarah
Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah meminta mengkaji mewujudkan
jawatan pembantu guru bagi membantu guru di setiap kelas bagi melakukan tugas
pentadbiran dan perkeranian. Dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
mencari penyelesaian dengan melatih dan menghantar pembantu pentadbir di
sekolah bertujuan untuk mengurangkan beban kerja guru. Tugas-tugas seperti
tugas perkeranian dan menguruskan pusat sumber serta bilik-bilik khas sekolah
oleh pembantu pentadbir sememangnya dapat mengurangkan masalah beban kerja
guru. Dengan ini, guru juga dapat lebih fokus kepada tugasnya untuk merancang
pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.
Bukan sahaja begitu, pihak kerajaan juga telah berusaha
menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah terutamanya di kawasan
pedalaman agar menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif bagi guru.
Dengan usaha sebegini, maka stres di kalangan guru dapat dikurangkan.
Bagi seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja, beliau
seharusnya dapat memiliki penampilan yang baik dari segi mental dan dapat
menghadapi sebarang cabaran atau halangan dengan pemikiran yang jelas dan baik.
Ini adalah kerana guru bukan sahaja memerlukan penampilan yang baik dari segi
fizikal, malah beliau juga perlu sentiasa berfikiran waras dan dapat menangani
tekanan emosinya dengan berkesan. Oleh itu, guru seharusnya meningkatkan dan
menguasai kemahiran menyelesaikan masalah yang dapat membantu seseorang guru
menangani masalah tekanan emosi yang dihadapinya secara rasional,
seterusnya merancang cara penyelesaian secara sistematik.
Selain itu, sebagai seorang guru, beliau juga seharusnya dapat menguasai
kemahiran pengurusan masa. Pada masa kini, kebanyakan guru yang bekerja
menghabiskan masa ke atas tugasan yang kurang penting telah mengabaikan
tanggungjawab yang lain sehingga mereka berasa tugas mereka tidak dapat diselesaikan.
Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi guru mengalami masalah tekanan
emosi akibat beban kerja. Oleh itu, kemahiran pengurusan masa dapat membantu
seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu dan
melakukannya dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru perlu merancang
jadual bekerja dan meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk
kegunaan diri.
Seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat beban kerja boleh
mempelajari kemahiran relaksasi yang dapat membantu meredakan reaksi fizikal
terhadap tekanan. Sebagai contoh, guru boleh boleh menjalankan relaksasi
seperti aktiviti yoga yang mengutamakan cara menarik dan menghembus nafas
dengan perlahan-lahan yang boleh menangani stres.
Bukan sahaja begitu, seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang
sihat dan seimbang dengan bersenam, makan makanan yang sihat, mempunyai tidur
yang cukup dan tidak meminum air beralkohol kerana badan yang sihat dapat
meningkatkan prestasi kerja. Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang,
seseorang guru perlu meluangkan masa dengan melakukan hobi atau aktiviti
rekreasi. Dengan membuat demikian, mereka dapat mengalih fikiran mereka
terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas serta mendapat persepsi yang
baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Jika seseorang guru itu mempunyai cara berkomunikasi yang baik dan berkesan,
maka mereka dapat mencari jalan untuk meluahkan buah fikiran dan emosinya. Di
samping itu, ia juga dapat memahami reaksi yang diberi. Maka, dengan cara ini
dapatlah seseorang guru itu mengendalikan masalah dan tekanan emosi dengan
lebih berkesan. Oleh itu, sebagai seorang guru, beliau perlu menjalin hubungan
yang baik dengan rakan sejawatnya agar dapat berkongsi masalah yang dihadapi.
Merujuk kepada kes guru tersebut, guru berkenaan sepatutnya menjelaskan dan
membincangkan masalah bisikan misteri yang telah dihadapi olehnya kepada rakan
sejawat yang lain agar dapat sokongan yang baik untuk mencari cara penyelesaian
yang lebih berkesan.
Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan
dan stres dengan baik. Oleh itu, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga
merupakan salah satu cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah tekanan
stres kerana agama dapat memberi sumber harapan atau menjadi pegangan kepada
seseorang apabila diperlukan. Golongan yang bekerja termasuk guru adalah
digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian kerana ia dapat
memberi mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan. Dengan
ini, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan dapat
dipertingkatkan. Guru tersebut juga akan lebih bersifat tenang dan mempunyai
emosi yang mantap serta optimistik dalam kehidupan.
Selain itu, seseorang guru perlu berfikiran realistik terhadap
pekerjaannya dan memupuk sikap suka dan minat terhadap kerjayanya dengan
menambah ilmu pengetahuan mengenai bidang atau profesion yang diceburinya demi
memartabatkan lagi profesion keguruan. Beliau juga seharusnya dapat memahami
kekuatan dan kelemahan dirinya. Sementara itu, fikiran yang positif patut
disemai dalam kalangan guru agar mereka dapat bersiap sedia menghadapi sebarang
masalah dan bersikap terbuka untuk menghadapi sebarang perubahan terutamanya
dalam bidang pendidikan.
Bukan sahaja begitu, seseorang guru perlulah sentiasa bertanggungjawab
dan memahami akauntabilitinya terhadap murid, ibu bapa, masyarakat dan negara
serta rakan sejawat dan profesion keguruan agar dapat menunjukan prestasi yang
terbaik ketika bekerja terutamanya menjalankan peranannya untuk menyampai ilmu
pengetahuan dan merancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan agar
murid-murid dapat mencapai objektif yang optimum.
Pihak pengurusan sekolah pula harus berperanan untuk membantu guru dalam
menghadapi sebarang tekanan, konflik dan isu. Pihak berkenaan perlu sedar akan
kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan
mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut.
Contohnya, pihak pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang
mempunyai potensi mengalami tahap stres yang tinggi. Seterusnya, pihak sekolah
boleh bekerjasama dengan kaunselor pentadbir yang berada di Pejabat Pelajaran
Daerah dan di Jabatan Pelajaran Negeri agar mengadakan sesi pertemuan untuk
membantu guru yang berkenaan untuk memahami dirinya dan orang lain, seterusnya
mendapatkan alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam menangani sebarang
isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan.
5.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, tekanan emosi guru semakin ketara di sekolah akibat beban
kerja kerana globalisasi dan modenisasi dalam bidang pendidikan. Dengan
tanggungjawab guru semakin mencabar dan peranan guru juga berubah. Hal ini
telah menyebabkan para guru menghadapi tekanan emosi dan terdapat segelintir
guru tidak dapat tekanan kerja dengan sebaik mungkin sehingga menjejaskan
kesihatannya. Oleh itu, pengurusan tekanan emosi memerlukan kemahiran yang
mesti dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi pendidikan terutamanya
dalam kalangan guru kerana kegagalan mengawal tekanan boleh membawa kesan yang
buruk bukan sahaja kepada individu tetapi juga imej organisasi.
Selain itu, pihak berkenaan juga harus memberi sokongan dan membantu
mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru dengan mengkaji semula skop
kerja guru. Para guru perlu sentiasa bersikap positif dalam menghadapi
cabaran-cabaran dalam dunia pendidikan hari ini bagi mengelakan diri terus
berada dalam keadaan stres dan menjejaskan karier diri sebagai seorang guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan